Jatuh Talak Satu !!! Kisah Perceraian Izreen Azminda di Lokasi PENGGAMBARAN…

Suami kepada pelakon Izreen Azminda iaitu Muhamad Riza Baharuddin, terkejut apabila dikatakan telah melafaz cerai terhadap isterinya di set penggambaran semasa berlakunya pertengkaran.

Muhamad Riza yang juga jurukamera bebas berkata, dia baharu sahaja memfailkan permohonan cerai di mahkamah rendah syariah Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu dan masih menunggu tarikh untuk dipanggil oleh pihak mahkamah.

“Kami belum lagi bercerai dan saya belum melafazkan talak kepada dia (Izreen). Kami baru sahaja failkan perceraian pada Rabu minggu lalu dan masih menunggu tarikh (perbicaraan) lagi. Saya akui rumah tangga kami bermasalah dan kami sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan yang lalu, namun kami belum bercerai secara sah lagi,” ujarnya dipetik mStar Online.

Muhammad Riza diminta mengulas laporan sebuah akhbar pada Rabu kononnya dia telah melafazkan cerai terhadap Izreen Azminda yang dilakukan di lokasi penggambaran sebuah drama di Pulau Pinang. Laporan itu menyebut perceraian itu berlaku pada 16 Mei lalu di set penggambaran ketika berlakunya pertengkaran antara kedua-dua pihak.

Izreen atau nama sebenar Izreen Azminda Aznam bergelar isteri kepada Muhammad Riza pada 31 Ogos 2012. Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adrian Umar yang kini berumur 10 bulan.

Dalam pada itu, Muhammad Riza menjelaskan tindakannya bertemu Izreen di lokasi penggambaran di Pulau Pinang itu dengan tujuan untuk menghantar anak mereka bagi melepaskan rindu. Dia juga mengambil kesempatan itu untuk berbincang tentang perceraian dan hak penjagaan anak mereka selepas bercerai nanti.

“Saya jumpa dia kerana ingin temukan Adrian kerana sudah lama tidak bertemu dan kesempatan itu juga saya ambil untuk berbincang tentang perceraian kami. Saya kesal apabila pertemuan tersebut disalah tafsir oleh pihak tertentu yang tidak bertanya dahulu kepada kami perkara sebenar,” ujarnya.

Dia juga terkilan dengan laporan berita perceraian tersebut yang dianggap menjatuhkan maruahnya sebagai seorang lelaki. Tambahnya, apabila berita tersebut tersebar ramai pihak menghubunginya untuk bertanyakan hal sebenar selain menuduhnya sebagai suami yang tidak waras.

“Berita itu sangat teruk sehingga mengambarkan saya sebagai seorang lelaki yang tidak waras kerana dengan melafazkan cerai di tempat yang tidak sepatutnya. Saya ambil dia sebagai isteri dengan cara baik dan saya akan lepaskan dia juga dengan cara baik bukan seperti yang ditulis itu. Laporan itu tidak benar sama sekali,” ujarnya.

Izreen nafi orang ketiga punca cerai

KEMELUT rumah tangga pelakon Izreen Azminda dan bekas suaminya, Muhammad Riza Baharuddin bermula apabila Riza didakwa melafazkan cerai kepada Izreen di set penggambaran drama Kerana Terpaksa Aku Relakan di Pulau Pinang pada 16 Mei lalu.

Selepas lama berdiam diri, akhirnya pelakon drama, Juvana itu sah diceraikan dengan talak satu oleh bekas suaminya itu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan pada Isnin lalu.

Meskipun sudah sah bercerai, kontroversi berhubung punca keretakan rumah tangga mereka masih belum berakhir.

Pelbagai cerita buruk telah tersebar. Ada yang mendakwa, Riza, 31, mempunyai hubungan dengan perempuan lain. Tidak kurang ada yang mengatakan Izreen menjalinkan hubungan dengan seorang pelakon lelaki.

Kini, pada usia 29 tahun, Izreen yang mempunyai seorang anak yang baru berusia 10 bulan, Adrian Umar, hasil perkongsian hidup dengan bekas suaminya itu telah memegang status ibu tunggal atau janda.

Ikuti temu bual Kosmo! bersama Izreen sehari selepas dia sah bercerai.

Kosmo!: Apakah perasaan Izreen apabila kemelut rumah tangga berakhir dengan perceraian?

IZREEN: Tipulah kalau saya kata tidak sedih. Namun, saya harus reda dengan ketentuan Allah yang menulis jodoh saya dan bekas suami hanya sampai di sini sahaja. Pada masa yang sama, saya juga lega kerana semuanya telah berakhir dengan baik walaupun perceraian itu memang saya atau mana-mana wanita tidak inginkan.

Terdapat pelbagai khabar angin berhubung punca perceraian anda termasuk ada yang mengaitkan anda dan bekas suami masing-masing mempunyai hubungan dengan orang lain. Boleh komen?

Semua itu tidak benar. Orang boleh cakap dan tulis apa sahaja tetapi mereka tidak berada di tempat saya.

Biarlah punca perceraian itu, saya dan bekas suami sahaja yang tahu. Apa yang boleh dikatakan, antara kami tiada orang ketiga. Saya berharap selepas ini segala tohmahan negatif itu dihentikan.

Bagaimanakah hubungan anda dan bekas suami selepas sah bercerai?

Kami juga bekerja dalam bidang yang sama, saya pelakon dan dia jurukamera. Jika bermasam muka, akhirnya kami akan bersua juga.

Jadi, lebih baik kami berbaik. Semuanya demi anak kami, Adrian. Saya juga tidak menuntut sebarang hak daripada bekas suami. Walaupun saya mendapat hak penjagaan anak sepenuhnya tetapi bekas suami bebas untuk berjumpa dengan anak kami itu.

Bergelar ibu tunggal atau janda pada usia anda ini bukan suatu hal yang mudah. Adakah anda sudah bersedia?

Ya, saya sudah bersedia. Walaupun saya sedar kepayahan dan cabaran yang bakal saya hadapi tetapi saya harus kuat demi anak saya. Buat apa saya meratap dan menangis sepanjang masa sedangkan hidup saya masih lagi panjang dan saya juga mempunyai seorang anak yang harus dijaga.

Sejujurnya adakah anda seorang wanita yang tabah?

Orang sekeliling melihat saya seperti wanita kuat dan tabah. Ketika kontroversi rumah tangga saya hangat diperkatakan, saya masih bekerja seperti biasa. Saya ambil serius soal kerjaya kerana saya bekerja bukan untuk populariti, sebaliknya kelangsungan hidup saya dan anak sebab itu saya harus kelihatan kuat.

Sejujurnya, saya tidak sekuat disangka, ada ketikanya saya juga menangis dengan apa yang berlaku.

Tanyalah mana-mana wanita, tidak ada seorang pun mahu diceraikan suami atau menyangka perkahwinan yang dibina akan berakhir dengan perceraian.

Selepas ini apakah perancangan hidup anda?

Saya akan bekerja seperti biasa dan akan sibuk di lokasi penggambaran. Pada masa yang sama, saya juga akan sibuk menjaga anak kerana fokus saya selepas ini hanyalah untuk membesarkan Adrian dan memberi pendidikan yang terbaik untuknya.

Bagaimana kalau anda ditakdirkan bertemu dengan jodoh baharu?

Saya langsung tidak terfikir mengenainya. Jika ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi, sebagai manusia siapa saya untuk menolak tetapi bukan dalam masa terdekat ini. Biarlah hati dan semangat saya pulih sepenuhnya terlebih dahulu.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*